
TAWAU: Seorang wanita berusia 35 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Tawau pada Isnin kerana menyebabkan kematian bekas suaminya yang merupakan pemandu e-hailing, dua tahun lalu.
Nurima Juli menerima hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Dr. Lim Hock Leng, yang turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh pertuduhan semula kes pada 26 April 2024.
Dia menyebabkan kematian Nurman Bakaratu pada 13 Januari 2023, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, di sini.
Nurima didakwa atas pertuduhan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, abang tiri Nurima, Sadam Kiram, 30, yang didakwa bersama-samanya, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan terbabit.
Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh.
Dalam penghakimannya, Dr. Lim menyatakan bahawa mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan alternatif serta menimbangkan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.
Beliau berkata mahkamah meneliti kepentingan awam, fakta kes dan prinsip-prinsip hukuman yang terdahulu dalam membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadap tertuduh.
Semasa prosiding pengurusan kes tahun lalu, mahkamah menetapkan 19 hari untuk perbicaraan sehingga Julai tahun ini.
Bagaimanapun, prosiding pada Isnin menyaksikan Nurima mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam dan Mohammad Fakrurrazi Ahmad Salim.
Nurima diwakili oleh peguam Mark Rosaidey Mohd Amin, manakala Sadam diwakili oleh Jhassary P. Kang.
Untuk rekod, Nurima sebelum ini didakwa atas kesalahan membunuh bekas suaminya di Mahkamah Majistret sebelum dijadikan sebagai saksi utama pihak pendakwaan apabila kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dia mengaku menikam mangsa menggunakan gunting semasa pemeriksaan utama oleh pasukan pendakwaan pada hari kelapan perbicaraan ketika itu, di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Perkembangan ini membawa kepada pembebasan kesemua lapan individu tertuduh, termasuk tujuh pegawai dan anggota Esscom, antaranya bekas Ketua Staf Perisikan Esscom Datuk Mat Zaki Md Zain yang sebelum ini didakwa bersubahat, serta seorang orang awam pada 25 Januari 2024.


