
Seorang pekerja wanita di sebuah kedai makan di Kuala Terengganu yang tular dipeluk lelaki baru-baru ini ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) pada semalam, lapor Utusan Malaysia.
Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin memaklumkan, operasi bersepadu yang dijalankan jabatan itu dengan kerjasama Majlis Daerah Setiu (MDS) membawa kepada penahanan wanita terbabit di premisnya di daerah tersebut.
Bagaimanapun menurut M. Rozi, wanita berusia 32 tahun itu akhirnya dibebaskan pada hari yang sama dengan bon jaminan selepas selesai memberi keterangan.
“Siasatan akan dilakukan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001,” jelasnya, memetik Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beberapa saksi lain juga turut akan dipanggil JHEAT untuk beri penjelasan serta membantu siasatan.
Sementara itu, Bahagian Pendakwaan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu pula akan merujuk kertas siasatan berkenaan bagi tindakan seterusnya, tambah M. Rozi.
Difahamkan, seperti yang dilapor Utusan Malaysia, ini bukanlah kali pertama JHEAT melakukan tindakan ke atas wanita itu atas kes yang hampir serupa.
Menurut M. Rozi, JHEAT pernah beberapa kali memanggil wanita terbabit sebelum ini ekoran dakwaan berhubung tingkah lakunya yang kurang sopan sewaktu melayan pelanggan di premis tersebut.
“Kita telah beri peringatan dan nasihat selain memantau sebelum ini namun ia (perlakuan tidak senonoh) masih lagi berlaku.
“Justeru, saya harap perkara ini menjadi peringatan kepada orang ramai (di Terengganu) agar menjaga tatasusila yang selari dengan ajaran agama Islam,” kata Rozi lagi.
Dalam pada itu, wanita terbabit terpaksa menyahaktifkan akaun TikTok miliknya dan mengambil cuti kerja buat masa ini.
Imbas kembali, tular sebuah klip video yang memaparkan wanita berkenaan dipeluk pada bahagian pinggang dan bahu oleh dua pelanggan lelaki.
Video tersebut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi awam sehinggalah premis berkenaan diserbu JHEAT.
Sumber: Utusan Malaysia
The post Wanita Tular Dipeluk Lelaki Ditahan JHEAT, Dibebas Dengan Bon Jaminan appeared first on Siakap Keli.

