KOTA BHARU – Wanita UMNO akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti secara terperinci penyertaan bekas ahli parti itu melalui inisiatif Rumah Bangsa yang sedang dilaksanakan oleh UMNO.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan di peringkat sayap wanita bagi menyelaraskan usaha yang sedang digerakkan oleh kepimpinan pusat.
Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan akan menilai setiap permohonan yang diterima sebelum dirujuk kepada jawatankuasa pusat.
Noraini bagaimanapun memaklumkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu masih di peringkat awal walaupun sudah terdapat permohonan daripada bekas ahli Wanita UMNO.
"Ada perbincangan, tetapi tidak secara serius lagi. Permohonan memang ada, tetapi soal jumlah itu kita belum boleh nyatakan lagi.
"Apabila semuanya telah dikenal pasti, kita akan rujukkan mereka kepada jawatankuasa pusat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di sini pada Selasa.
Menurut beliau, penyertaan semula bekas ahli Wanita UMNO itu akan mengikut sepenuhnya garis panduan yang ditetapkan oleh kepimpinan pusat.
Noraini tidak menolak kemungkinan ada yang pernah memegang jawatan dan ada juga tidak.
Terdahulu, UMNO memperkenalkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai platform untuk menghimpunkan semula bekas ahli parti termasuk mereka yang pernah meninggalkan parti sebelum ini.

