KLANG – Tindakan dua wanita warga asing mencuri peralatan kecantikan di sebuah pasar raya di Bandar Bukit Tinggi di sini pada Khamis terbongkar apabila aksi mereka itu tular di media sosial.
Video berdurasi beberapa saat yang tersebar memaparkan kedua-dua suspek bergerak di dalam premis sebelum bertindak menyembunyikan barangan ke dalam beg tangan tanpa membuat bayaran.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 31 tahun.
"Semakan mendapati kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 5 petang.
"Dua suspek wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri peralatan kecantikan dengan nilai kerugian dianggarkan RM1,263,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial dimuat naik seorang individu memaparkan aksi dua individu terbabit yang dipercayai mencuri barangan di premis berkenaan.


