Wanita warga China ditahan, seludup ubat bernilai RM5.4 juta

LocalHealth & Fitness
27 Apr 2026 • 10:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita warga China ditahan, seludup ubat bernilai RM5.4 juta
Pelbagai ubat-ubatan yang dirampas di KLIA pada Isnin.

SEPANG – Cubaan seorang wanita warga China menyeludup ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal bernilai RM5.4 juta berjaya dipatahkan dalam pemeriksaan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan rampasan itu hasil tindakan pantas serta kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan di pintu masuk negara.

"Pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bagasi milik seorang penumpang wanita warga China yang baru tiba dari Bangladesh, pada jam 5.30 pagi.

"Pemeriksaan mendapati bagasi berkenaan mengandungi ribuan kotak ubat suntikan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, sebanyak 8,840 unit ubat suntikan yang disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM.

"Ubat-ubatan tersebut turut dipercayai mengandungi racun terkawal jenis Tirzepatide, iaitu ubat yang digunakan bagi rawatan diabetes dan obesiti serta tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Racun 1952," katanya.

Menurut kenyataan itu, kesemua barangan berkenaan telah dirampas untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana mengimport keluaran tidak berdaftar.

"Selain itu, kes turut disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952 kerana mengimport racun tanpa lesen sah," katanya.

AKPS KLIA memaklumkan agensi itu memandang serius kegiatan penyeludupan ubat-ubatan yang tidak mendapat kelulusan KKM.

"Penggunaan ubat tidak berdaftar khususnya yang mengandungi racun terkawal seperti Tirzepatide tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh mendatangkan risiko kesihatan serius serta kesan sampingan yang memudaratkan nyawa," katanya.