SHAH ALAM - Kesalahan pendatang asing tanpa izin (PATI) melanggar syarat pas antara yang tertinggi direkodkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tahun ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan statistik tahun ini bagi tempoh Januari hingga 9 Mac lalu, seramai 9,497 warga asing ditangkap hasil daripada 2,618 operasi yang telah dilaksanakan di seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 1,158 individu ditahan bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
"Kebanyakan daripada mereka didapati menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan, khususnya melibatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Lawatan Sosial (PLS) bagi tujuan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas yang dikeluarkan.
"Lima warganegara tertinggi yang ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas ialah Bangladesh seramai 532 orang, diikuti Thailand (248 orang), Indonesia (111 orang), China (86 orang) dan Pakistan (51 orang)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, selain itu, daripada jumlah 1,158 tangkapan itu juga, 482 individu ditangkap atas kesalahan menyalahguna PLS meliputi 235 orang warga Thailand, Bangladesh (83 orang), China (62 orang), Indonesia (62 orang), Pakistan (13 orang) dan 27 lain-lain warganegara.
Katanya, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran yang sah.
"JIM memandang serius penglibatan segelintir warga asing yang dikesan menyalahgunakan PLS untuk masuk sebagai pelancong namun sebaliknya menjalankan aktiviti pekerjaan di premis seperti restoran atau kilang," ujarnya.
Tambahnya, JIM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara.
"Individu yang didapati melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan termasuk penahanan, pendakwaan serta pengusiran dari Malaysia," ujarnya.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan.


