
TAWAU: Cubaan seorang suspek penyeludup rokok meloloskan diri daripada ditahan dengan memecut laju kenderaannya secara berbahaya, sejauh kira-kira 200km dari Lahad Datu ke daerah ini, gagal selepas merempuh sebatang pokok di Kampung Titingan di sini, pada awal pagi Jumaat.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohammad Nazri Ibrahim berkata penahanan suspek dengan rampasan 678,400 batang rokok pelbagai jenama dan van berwarna putih yang keseluruhannya bernilai lebih RM1 juta terbabit dilakukan kira-kira jam 2.20 pagi.
“Suspek yang juga seorang lelaki warga asing berumur 43 tahun dan barangan rampasan yang terlibat sudah dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya melalui kenyataan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Nazri berkata, pada awalnya penahanan hendak dilakukan di kawasan Silam apabila van terbabit dilihat berada dalam keadaan mencurigakan, namun suspek bertindak nekad dengan memecut laju kenderaannya hingga ke Kunak sebelum memasuki Tawau.
Tindakan agresif suspek yang enggan menghentikan kenderaan sekalipun diarah berhenti, menyebabkan Unit Gempur Marin (Ungerin) dan Unit Risikan Marin (URM) segera mendapatkan bantuan daripada pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dan Tawau.
“Usaha mengejar dan menahan suspek akhirnya berhasil selepas van dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok berhampiran kediaman penduduk di Kampung Titingan yang juga terletak di kawasan tepi pusat bandar,” katanya.
Beliau berkata ketika dihampiri suspek bertindak agresif malah cuba melarikan diri namun ditangkap di lokasi kejadian, dengan pemeriksaan susulan mendapati van terbabit sarat bungkusan plastik hitam mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 berkaitan perbuatan melindungi, menyimpan dan menyembunyikan barangan tanpa duti kastam atau tanpa kebenaran yang sah.
“PPM Wilayah 4 Sabah komited untuk terus membanteras kegiatan penyeludupan dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara dapat terus dipelihara,” katanya.
Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit 13 saat yang memaparkan aksi pihak berkuasa mengejar van dipandu suspek sehingga ditahan, mendapat perhatian ramai apabila tular di media sosial selepas dimuat naik di laman rasmi Facebook PPM Sabah.

