‘Warga asing juga perlu makan, mereka perlu diberi izin untuk terus beli beras’ – Mohamad Sabu

Politics
26 Sep 2023 • 8:58 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sekali lagi mengingatkan semua pihak tidak terus membangkitkan cadangan melarang penjualan beras putih tempatan kepada golongan warga asing di negara ini.

Jelas beliau, isu itu tidak wajar dibangkitkan kerana ia membabitkan hak kemanusian di mana golongan warga asing juga perlu makan.

“Bagi saya, ini soal kemanusiaan. Mereka juga perlu makan. Dalam suasana begini, jangan kita gopoh (mencadangkan) sebab kalau pekerja kita berada di luar negara dan mereka tidak dibenarkan membeli beras yang murah, kita juga akan terasa (kesannya).

“Ini soal hak asasi manusia dan saya rasa, mereka perlu diberi izin untuk terus membeli beras di Malaysia. Termasuk beras tempatan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh tetap mempertahankan cadangannya yang melarang penjualan beras putih tempatan kepada warga asing.

Cadangan yang dikemukakan itu bukanlah bersifat diskriminasi, tetapi sebagai satu usaha untuk membantu rakyat sendiri mendapatkan bekalan beras.

Isu kekurangan bekalan beras tempatan mula hangat diperkatakan semenjak India menghentikan sementara pengeksportan berasnya ke negara lain.

Langkah itu diambil ekoran bekalan beras untuk rakyatnya turut mengalami kekurangan ekoran tanaman padi terjejas disebabkan kekerapan hujan sejak beberapa bulan lalu.