Warga ATM bakal ‘diimbas’ kemahiran 2 tahun sebelum bersara

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 5:03 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Warga ATM bakal ‘diimbas’ kemahiran 2 tahun sebelum bersara

KUALA LUMPUR – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara akan dikenal pasti sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal bagi membolehkan kemahiran mereka dinilai agar dapat dipersesuaikan kepada laluan kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata, program MyBakat Veteran yang diterajui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan (Mindef) itu bertujuan memastikan pengalaman dan kepakaran anggota tentera dapat dimanfaatkan dalam sektor pekerjaan awam.

“Melalui kerjasama ini, anggota ATM yang bakal bersara akan dikenal pasti sekurang-kurangnya dua tahun lebih awal bagi membolehkan penilaian kemahiran, perancangan kerjaya dan latihan tambahan dilaksanakan mengikut keperluan industri.

“Tamat perkhidmatan bukan bermakna tamat sumbangan kepada negara. Pengalaman dan kemahiran anggota ATM masih diperlukan dalam dunia pekerjaan untuk bersama membangunkan tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama Kesuma-Mindef serta Pelancaran Laluan Pengiktirafan Kemahiran di bawah Inisiatif MyBakat Veteran, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, setiap tahun, antara 5,000 hingga 7,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan selepas berbakti selama 12 hingga 26 tahun.

“Sepanjang tempoh perkhidmatan di ATM, mereka telah membina kepakaran dalam bidang kejuruteraan, logistik, teknologi, operasi dan kepimpinan.

“Mereka juga terlatih untuk membuat keputusan serta memikul tanggungjawab dalam pelbagai keadaan yang mencabar,” katanya.

Bagaimanapun, Ramanan berkata, peralihan kepada sektor awam memerlukan veteran menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan perisian komputer.

“TalentCorp menyelaras kerjasama antara agensi, ATM dan industri melalui MyMahir serta rangkaian Future Skills Talent Councils bagi memastikan pembangunan kemahiran berpandukan keperluan industri.

“Melalui MyMahir, peluang mempelajari AI dapat diperluas kepada pelbagai golongan. Kita tahu kursus AI di luar sana boleh menelan belanja sehingga ribuan ringgit untuk satu sesi, tetapi melalui inisiatif MyMahir, anda berpeluang mempelajari AI secara percuma,” katanya.

Justeru, katanya, antara langkah utama MyBakat Veteran ialah memperkenalkan Laluan Pengiktirafan Kemahiran dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi memadankan pengalaman, kursus dan latihan ketenteraan dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

Tambahnya, anggota dan veteran ATM berpeluang mendapatkan pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia serta Diploma Kemahiran Malaysia tertakluk kepada penilaian kompetensi dan syarat kelayakan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

The post Warga ATM bakal ‘diimbas’ kemahiran 2 tahun sebelum bersara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved