
JAKARTA – Seorang jemaah haji berusia 90 tahun dari Madiun, Jawa Timur, Sarmi Subari Rasyid, mencuri perhatian apabila masih berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini melalui pusat pelepasan Surabaya.
Menurut laporan Kompas, warga emas itu tidak berangkat bersendirian, sebaliknya ditemani anak keenamnya, Ninik Hariningsih, 48.
Lebih menyentuh hati, pemergian Sarmi ke Tanah Suci berlaku tanpa suami di sisi selepas lelaki itu telah meninggal dunia.
Walaupun usianya hampir mencecah satu abad, Sarmi dilaporkan masih sihat, mampu berkomunikasi dengan baik serta menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Apabila ditanya mengenai rahsia kesihatannya, dia berkata tidak mempunyai amalan khusus, namun mengakui kopi menjadi minuman wajib setiap hari.
“Saya tak ada apa-apa, cuma minum kopi. Kalau tak minum kopi, saya pening. Semua kopi saya minum,” katanya ringkas.
Masih Aktif, Tidak Suka Duduk Diam
Di sebalik usia lanjut, Sarmi juga dikenali sebagai seorang yang aktif dan tidak gemar duduk diam di rumah.
Sebaliknya, dia mengisi masa dengan berkebun, menanam pelbagai jenis sayur serta memantau perkembangan tanaman yang diusahakan.
Namun, bagi kerja-kerja berat seperti menuai, dia akan mendapatkan bantuan daripada orang lain.
Sementara itu, anaknya, Wiwik memaklumkan ibunya masih mampu berjalan sendiri, namun menggunakan kerusi roda ketika berada di Asrama Haji di pusat pelepasan Surabaya bagi memudahkan pergerakan.
Menurutnya lagi, Sarmi telah mendaftar untuk menunaikan haji sejak lima tahun lalu, dengan kos perjalanan ditanggung sepenuhnya menggunakan wang simpanan serta pencen.
Untuk rekod, Sarmi yang lahir sebelum kemerdekaan Indonesia juga merupakan saksi hidup kepada detik bersejarah negara itu, manakala arwah suaminya merupakan bekas anggota Angkatan Bersenjata Republik Indonesia. – The Malaysian Update
The post Warga Emas 90 Tahun Ke Tanah Suci, Kongsi Rahsia Kekal Sihat appeared first on The Malaysian Update.
