Warga emas cari pucuk nipah ditemui lemas

29 Jul 2024 • 8:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Warga emas yang dilaporkan hilang ketika mencari pucuk nipah di muara sungai Kampung Air, di sini, akhirnya ditemukan lemas

BELURAN - Warga emas yang dilaporkan hilang ketika mencari pucuk nipah di muara sungai Kampung Air, di sini, akhirnya ditemui lemas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada malam Ahad.

Dalam kejadian jam 11.45 malam itu, matat Damat Anggah, 80, ditemui kira-kira 10 meter dari perahunya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima laporan bahawa mangsa tersebut telah pun ditemui.

"Mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan bagi memastikan kawasan tersebut tiada bahaya lain yang wujud dan operasi ditamatkan pada jam 1 pagi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, mangsa yang mengambil pucuk nipah di muara sungai tersebut disedari hilang oleh penduduk kampung apabila hanya perahu dan topinya yang ditemui.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah pada jam 9 pagi untuk mengambil pucuk nipah yang terletak sejauh 1.5 kilometer dari jeti kampung tersebut.