
Warga Emas Dicekup Khalwat Peluk Penguat Kuasa, Rayu Dilepaskan Elak Diketahui Anak Cucu
SUNGAI PETANI – Pasangan warga emas berusia 60 tahun yang dicekup semasa berkhalwat di sebuah hotel bajet dilaporkan merayu agar dibebaskan bagi mengelakkan keluarga menanggung malu dengan perbuatan mereka.
Serbuan malam semalam yang dilakukan di sebuah hotel bajet dekat Padang Temusu, turut berjaya menahan empat lagi pasangan remaja hasil maklumat orang awam.
Seorang warga emas lelaki berusia 60 tahun dilaporkan bertindak merayu dengan memeluk anggota penguatkuasa manakala pasangannya memegang tangan anggota penguatkuasa agar dibebaskan semasa ditahan kerana berkhalwat.
Tindakan mereka walau bagaimanapun tidak diendah anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda kerana rayuan sebegitu difahamkan sering berlaku apabila serbuan dilakukan.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, operasi terbabit dilakukan dengan kerjasama Skuad Badar sebuah pertubuhan bukan kerajaan kerana sering mendapat maklumat mengenai pasangan remaja yang menginap di hotel bajet tersebut.
“Semasa serbuan, kita menahan pasangan remaja berumur 15 tahun hingga 21 tahun yang berdua-duaan di dalam beberapa buah bilik di situ.
“Turut ditahan sepasang warga emas yang memberi pelbagai alasan termasuk sanggup memeluk anggota kita minta dilepaskan kerana tidak mahu perbuatan mereka diketahui keluarga ekoran telah mempunyai cucu,” tambahnya lagi.
Menurut Mohd. Noor, kesemua pasangan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014.
“Kelima-lima pasangan ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk proses dokumentasi dan memanggil waris untuk proses tindakan selanjutnya,” ujar Mohd. Noor.
“Kita akan sentiasa melakukan intipan dan serbuan jika menerima maklumat berkaitan pasangan Islam yang menjadikan hotel murah untuk melakukan perbuatan menyalahi syariat Islam,”menurutnya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sumber : Utusan Malaysia
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”
The post Warga Emas Dicekup Khalwat Peluk Penguat Kuasa, Rayu Dilepaskan Elak Diketahui Anak Cucu appeared first on Siakap Keli.
