
Tular lelaki bukan Islam asal Sarawak ini ditampar warga emas
Warga Emas Didakwa Tampar Lelaki Bukan Islam Asal Sarawak Dilepas Tanpa Bebas. Seorang warga emas yang didakwa menampar seorang lelaki bukan Islam kerana makan di tempat awam ketika Ramadan pada Ahad lalu telah diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Majistret A. Shaarmini membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan bahawa beliau menerima arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Warga emas tersebut mengaku bersalah
Terdahulu, tertuduh Abdul Razak Ismail yang berusia 65 tahun mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Shaarmini.
Pesara tersebut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah kedai serbaneka dalam pusat membeli-belah di sini sekitar jam 3.45 petang pada Ahad lalu.
Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela. Jika disabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, insiden berlaku apabila tertuduh menampar pipi kanan mangsa.
Pegawai perubatan yang memeriksa mangsa mengesahkan terdapat lebam pada pipi kanannya.
Bagaimanapun, selepas mengaku bersalah, tertuduh kemudian mempertikaikan fakta kes yang dibacakan di mahkamah.
Shaarmini kemudiannya menolak pengakuan bersalah tersebut dan mengarahkan Abdul Razak untuk membela diri.
Namun, ketika Nur Fatihah berhujah mengenai jaminan terhadap tertuduh, beliau menerima arahan baharu daripada AGC untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai DNAA.
Beliau kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes ini akan didakwa semula selepas AGC meneliti kertas siasatan di Putrajaya.
Terdahulu, Abdul Razak hadir di mahkamah pada jam 8.52 pagi ditemani anaknya.
Pada Ahad lalu, sebuah video di platform media sosial X (dahulunya Twitter) tular, menunjukkan seorang lelaki bukan Islam ditegur oleh seorang warga emas kerana didakwa makan secara terbuka ketika Ramadan di pusat membeli-belah Angsana, Tampoi.
Situasi menjadi tegang apabila warga emas tersebut meminta lelaki itu menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti bahawa dia bukan Islam.
Lelaki berkenaan yang enggan menunjukkan kad pengenalannya kemudian mendakwa telah dimarahi dan ditampar beberapa kali oleh warga emas tersebut.
Baca juga cerita semasa di bawah:

