Warga emas ditahan bantu siasatan kes kanak-kanak perempuan hilang

31 May 2023 • 2:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KEPALA BATAS, 31 MEI: Polis menahan lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada 26 Mei lalu sebelum ditemukan 24 jam kemudian dalam keadaan lemah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Mohd Asri Shafie berkata lelaki berusia 70-an itu ditahan 10.30 malam tadi hasil risikan polis.

“Berdasarkan risikan, polis menahan lelaki warga emas yang tinggal di kawasan kejiranan kanak-kanak itu bagi membantu siasatan kes kehilangannya.

“Lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Kepala Batas, di sini dan beliau difahamkan keadaan kesihatan mangsa semakin baik.

Mohd Asri berkata setakat ini polis masih belum dapat merekodkan keterangan daripada kanak-kanak perempuan itu kerana keadaannya yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

Katanya selain pemantauan oleh pasukan kesihatan, kanak-kanak itu turut berada di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kami juga masih menunggu laporan lengkap perubatan kanak-kanak tersebut daripada pihak hospital (untuk lengkapkan siasatan).

“Jika laporan siasatan dan dapatan (siasatan) kita terdapat unsur-unsur lain termasuk jenayah lain, cabul dan sebagainya, polis akan menukar seksyen siasatan berdasarkan hasil siasatan,” katanya.

Difahamkan mangsa mengenali lelaki warga emas itu dan kanak-kanak perempuan tersebut ditinggalkan dalam kawasan semak di Permatang Keriang semalaman ketika dilaporkan hilang.

Media sebelum ini melaporkan orang awam menemukan kanak-kanak itu di kawasan semak Permatang Keriang, Penaga kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan pemeriksaan mendapati mangsa patah rahang, luka di bahagian dagu serta belakang kepala, lebam di dada dan belakang badan serta patah dua batang gigi.

Kanak-kanak itu dilaporkan keluar dari rumahnya di Taman Kuala Muda, Penaga, pada 1 tengah hari Jumaat lalu dan didapati tidak pulang ke rumah sebelum ditemukan pada jam 6 petang keesokan.

– BERNAMA