Warga Emas Ditemukan Maut, Dipercayai Dibunuh

LocalPolitics
14 Mar 2025 • 5:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Terdapat kecederaan pada bahagian kepala, telinga dan bahagian belakang badan mangsa - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mayat warga emas dipercayai dibunuh ditemukan di sebuah rumah di Kampung Baru Puchong, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata mayat lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditemukan seorang wanita tempatan kira-kira 3 petang selepas menghidu bau busuk dari rumah mangsa.

"Hasil siasatan awal pihak forensik mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala, telinga dan bahagian belakang badan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Wan Azlan berkata hasil pemeriksaan mendapati telefon bimbit mangsa tidak dijumpai namun tiada barangan lain yang hilang dari rumah berkenaan.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Supritendan R. Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA