Warga emas ditemukan maut selepas bergaduh

27 Jul 2023 • 8:14 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Seorang lelaki warga emas warga tempatan ditemukan maut dengan kesan cedera di mulut, mata dan muka, di tempat letak kereta sebuah hotel di Genting Highlands, selepas dirakam bergaduh di lobi hotel.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa yang berusia 67 tahun, ditemukan pada 5.39 petang semalam, dalam keadaan terlentang.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, berlaku pergaduhan antara mangsa dengan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun di lobi, sebelum mereka beredar ke tempat letak kereta dan sekali lagi bergaduh.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati antara mangsa dan suspek, disebabkan bilik hotel,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Zaiham berkata suspek yang mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau, kini direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di 09-2222222 atau balai polis berhampiran. -Bernama