Warga emas hampir ditimpa pokok besar ketika beriadah di Taman Botani Pulau Pinang

8 May 2024 • 12:46 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Rutin harian beriadah dan berjoging setiap pagi di Taman Botani Pulau Pinang, bertukar menjadi sesuatu yang tidak dijangka bagi seorang warga emas dikenali sebagai, Li, apabila dia nyaris ditimpa sebatang pokok besar, pagi tadi.

Ketika kejadian pada 8 pagi itu, Li yang berusia 81 tahun, sedang berjoging di taman berkenaan apabila tiba-tiba dia mendengar bunyi dahan pokok patah.

“Saya kemudian melarikan diri dan tidak lama kemudian pokok besar itu tumbang di belakang saya,’’ katanya seperti yang dilaporkan oleh media berbahasa Cina, Kwongwah.

Beberapa laporan pokok tumbang dilaporkan sejak semalam dengan kejadian paling menyayat hati berlaku ke atas seorang lelaki apabila kenderaan yang dipandunya dihempap sebatang pokok di Jalan Sultan Ismail, di Kuala Lumpur, semalam.

Mangsa yang terkorban adalah pemandu sebuah kenderaan berusia 47 tahun. Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat.

Mengulas lanjut, Li berkata, dahan pokok itu sangat besar dan dia bernasib baik kerana dapat mengelak, jika tidak sudah tentu mengalami kecederaan yang parah.

Disebabkan ia berlaku secara tiba-tiba, Li terjatuh ketika melarikan diri menyebabkan dia mengalami kecederaan di dahi, muka, tangan dan kaki.

Li yang juga seorang pesara memaklumkan dia akan beriadah dan berjoging di Taman Botani itu setiap Isnin hingga jumaat, sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian cuaca baik dan tiada hujan atau angin kuat yang melanda kawasan Taman Botani tersebut.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Chen, 60, berkata dia mendengar bunyi dahan patah dan nampak seorang lelaki warga emas sedang duduk dengan dipenuhi darah.

Pekerja di taman itu, katanya menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Dalam pada itu, kawasan sekitar Taman Botani Pulau Pinang akan ditutup bagi kerja-kerja pembersihan. Ia akan hanya dibuka selepas kawasan itu selamat kepada orang ramai.

“Ia dijangka dibuka semula pada petang ini atau pagi esok,’’ katanya. - 8 Mei, 2024