
Mangsa hilang di hutan Roban
Warga Emas Hilang 6 Hari Ditemui Selamat, Bertahan Hanya Dengan Gula-Gula Dan Air Sungai. Dilaporkan, seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 23 Februari lalu di Roban akhirnya ditemui selamat hari ini selepas enam hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Menurut Ketua Balai Bomba Sarikei, Arrahman Chik, mangsa Kamoi Paun, berusia 69 tahun, ditemui sekitar 300 meter dari Rumah Luang Empaong pada jam 9 pagi dalam keadaan lemah dengan luka di tangan dan kaki.
“Mangsa segera dibawa menggunakan pengusung ke rumah panjang sebelum diserahkan kepada ambulans Saratok pada jam 11.46 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Bertahan hanya dengan air sungai dan gula-gula
Sepanjang tempoh hilang, Kamoi berjaya bertahan dengan hanya meminum air dari Sungai Roban dan makan gula-gula yang dibawanya.
Dia sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari Rumah Luang Empaong untuk ke pasar Roban, tetapi gagal pulang ke rumah seperti biasa.

Bimbang dengan keadaannya, keluarganya membuat laporan kehilangan keesokan harinya memandangkan Kamoi juga mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan jantung.
Syukur, dia akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat. Sama-sama kita doakan Kamoi agar cepat sembuh!
Lagi berita terkini untuk anda di sini:

