Warga emas hilang sejak Ahad ditemukan meninggal dunia di belukar

6 Apr 2026 • 7:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi mayat mangsa ditemukan.

MELAKA - Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah di Pulau Gadong sejak Ahad ditemukan meninggal dunia di sebuah kawasan belukar di Pengkalan Batu pada Isnin.

Anak mangsa, Azlina Md Said, 50, menafikan dakwaan tular yang mendakwa bapanya, Mat Said Bidin, 79, meninggal dunia akibat dibunuh.

Sebaliknya wanita itu berkata, bapanya itu berkemungkinan meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Bukan kes bunuh kerana tiada kesan tikaman atau kecederaan pada badan arwah tapi mungkin serangan jantung.

“Semalam dia tidak pulang, kami sudah mencarinya tetapi tidak jumpa. Hari ini kami cari lagi sebelum menemukan motosikalnya dan kemudian menjumpai arwah dalam keadaan terbaring dan dikerumuni semut,” katanya pada Isnin.

Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mencurigakan sehingga dikaitkan sebagai kes bunuh.

Keluarga mangsa sebelum itu turut berkongsi di media sosial bagi meminta bantuan orang awam mengesan warga emas berkenaan yang tidak pulang ke rumah.

Azlina berkata, bapanya dipercayai ke kawasan tersebut untuk mencari hasil kampung seperti kelapa, jering dan mangga, namun mungkin terkena serangan jantung ketika berada di lokasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.44 tengah hari, Isnin mengenai penemuan mayat seorang lelaki di kawasan berhampiran Syarikat Air Bukit Sebukor, Jalan Pengkalan Batu.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring di dalam belukar dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

“Pemeriksaan fizikal oleh pegawai penyiasat dan pasukan forensik mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh si mati,” katanya.

Beliau berkata, keluarga mangsa memaklumkan warga emas itu keluar rumah pada Ahad dan tidak pulang sebelum usaha pencarian dilakukan sehingga mangsa ditemukan pada Isnin.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.