KUALA SELANGOR – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas sejak Jumaat lalu terjawab apabila mayat mangsa ditemukan orang awam di tepi Sungai Kampung Kuantan berhampiran jeti Batu 7½, di sini pada pagi Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa, P Ravi, 63, ditemukan kira-kira jam 8.30 pagi pada jarak 5.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Menurutnya, mangsa dipercayai jatuh ke dalam sungai bersama kerusi roda yang digunakan, namun punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
“Sejurus dimaklumkan, pasukan bomba ke lokasi bagi mengangkat mayat. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Terdahulu beliau berkata, bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.09 malam, Jumaat lalu sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba sembilan minit kemudian.
Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Unit K9 serta beberapa balai bantuan termasuk BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.
Katanya, pelbagai kaedah digunakan sepanjang operasi termasuk pencarian di permukaan air, selaman di lokasi mangsa dipercayai jatuh serta rondaan di tebing sungai.
“Pada hari kedua operasi, unit PPDA melakukan selaman di lokasi kejadian manakala Unit K9 menjalankan pencarian di kawasan sekitar sejauh satu kilometer, namun mangsa masih gagal ditemukan.
“Operasi kemudian ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam sebelum disambung semula pagi ini,” katanya.
Beliau berkata, seramai 13 anggota bomba termasuk enam dari unit PPDA dan tiga dari Unit K9 terlibat dalam operasi berkenaan, selain dibantu tiga anggota polis.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambah beliau.



