KUANTAN - Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Bera dekat Kampung Sungai Batu, Bera ditemukan lemas pada Jumaat.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat Mohamad Shukri Bakar@Hassan, 62 ditemui jam 9.39 pagi pada hari kedua pencarian.
Menurutnya, mayat warga emas itu ditemui orang awam di lokasi kira-kira 25 meter dari tempat dia dilaporkan jatuh.
**media[3562888]**
"Pihak bomba membantu membawa mayat mangsa ke Jeti Kuala Bera sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Mohd Salahuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua disambung jam 8 pagi disertai 13 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dibantu anggota dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Dua bot digunakan dalam operasi pencarian mangsa. Operasi ditamatkan jam 10.30 pagi," katanya.
**media[3562891]**
Media sebelum ini melaporkan mangsa difahamkan keluar memancing seorang diri pada Khamis di sungai sebelum kejadian.
Kejadian itu dilaporkan jam 4.52 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Triang ke lokasi yang berada 48 kilometer dari balai untuk operasi SAR.
Tindakan operasi hari pertama dimulakan dengan pencarian di permukaan air sekitar kawasan sungai lokasi mangsa dilaporkan terjatuh sebelum ditqangguhkan jam 7.17 petang sebelum disambung semula pada Jumaat.






