Warga emas maut bergaduh kerana hutang RM250

28 Jan 2023 • 8:10 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas maut selepas terlibat dalam pergaduhan dengan rakan lamanya yang dipercayai enggan melangsaikan hutang sebanyak RM250 di depan sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima Kepong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata dalam kejadian pada 6.45 pagi itu, mangsa yang berusia 76 tahun dipukul rakannya berumur 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik.

Beliau berkata mangsa pula membalas serangan itu dengan menggunakan sebatang rod kabel.

“Mangsa kemudiannya didapati beredar selepas dileraikan anggota RELA yang berada berdekatan, namun rebah di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, sebelum meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Beh berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah ditahan di Balai Polis Kepong ketika hadir untuk membuat laporan polis berhubung pergaduhan tersebut pada 11 pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian. - Bernama