
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebagai orang muda, kita dituntut untuk menghormati golongan warga emas. Bukan sahaja kerana faktor umur, malah mereka juga sudah mempunyai banyak pengalaman setanding dengan ibu bapa atau atuk nenek kita.
Pun begitu ada di kalangan anak muda yang dilihat kurang menjaga adab atau tingkah laku di hadapan warga emas. Lebih teruk lagi teruk melakukan sesuatu perkara yang membahayakan golongan yang sudah tua ini.
Remaja pukul warga emas guna cota hingga maut
Terbaharu seorang warga emas yang berusia 60 tahun di Kampung Buloh Ipoh, Tanah Merah, Kelantan dilaporkan maut selepas dipukul dengan menggunakan cota besi oleh seorang remaja pada Khamis (19 Jun).
Memetik laporan Kosmo, remaja berusia 18 tahun berkenaan berbuat demikian akibat berdendam dan tidak berpuas hati selepas ditegur oleh warga emas terbabit kerana menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.
Dalam kejadian sekitar 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad yang cedera parah di bahagian muka meninggal dunia di lokasi kejadian. Difahamkan beliau rebah selepas dipukul remaja terbabit.
Menurut adik mangsa, Hasnah Ghazali, 40, sebelum insiden, abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di sebuah bangsal berhadapan dengan kedai runcit.
Remaja didakwa datang dan ajak mangsa ke belakang kedai
Namun mangsa didatangi remaja berkenaan yang mengajaknya ke belakang kedai runcit.
“Remaja terbabit tiba-tiba memukul abang dengan sebatang cota besi yang dipercayai dibeli secara dalam talian. Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki turut melalui kawasan berkenaan.
“Pukulan pada bahagian muka itu menyebabkan abang saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya dipetik Kosmo.
Lihat abang sudah tidak bernyawa selepas tiba di sana
Tambah wanita itu lagi, dia segera ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan dari seorang rakan mengenai insiden yang menimpa abangnya.
Namun malangnya, sebaik tiba, abangnya yang berlumuran darah pada bahagian muka didapati sudah tidak bernyawa.
“Difahamkan, remaja terbabit dipercayai berdendam dengan abang saya kerana sebelum ini ada menegurnya yang banyak kali menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung,” katanya.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah kemudiannya mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan laporan lanjut akan menyusul.
Source:


