
JAKARTA – Seorang warga emas maut selepas diserang kawanan tebuan ketika mencari rumput di Desa Jimbaran, Daerah Pasuran, Jawa Timur semalam, lapor saluran berita Lambe Turah.
Mangsa, Supandi, 65, dilaporkan terjatuh dan berguling-guling di atas tanah sambil menjerit meminta pertolongan dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) itu.
Menurut laporan media tempatan, ketika kejadian, Supandi dalam perjalanan mencari rumput yang merupakan rutin hariannya sebelum tiba-tiba diserang kawanan besar tebuan.
Menerusi rakaman video kejadian yang tular di media sosial, mangsa dilihat cuba melindungi kepalanya dengan menggunakan kedua-dua tangan sambil menjerit kesakitan ketika diserang serangga berbisa tersebut.
Supandi cuba untuk bangun menyelamatkan diri, namun dia rebah semula di hadapan beranda rumah penduduk. Jeritan mangsa menarik perhatian orang ramai yang kemudiannya segera memberikan bantuan kepada lelaki itu.
Walau bagaimanapun, usaha menyelamatkan mangsa berdepan kesukaran berikutan kumpulan tebuan itu masih mengerumuni tubuh lelaki itu menyebabkan penduduk bimbang menjadi mangsa sengatan.
Seorang penduduk tempatan, Ahmad Arif mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira setengah jam selepas serangan berlaku.
“Lebih kurang 30 minit selepas kejadian, mangsa akhirnya menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita. – AGENSI
The post Warga emas maut disengat tebuan appeared first on Kosmo Online.




