Warga Emas Maut Nahas Disahkan Memandu Lawan Arus

4 Jul 2022 • 10:45 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan Proton Wira yang dipandu oleh warga emas yang terlibat dalam kemalangan awal pagi tadi. - Gambar ihsan polis

PETALING JAYA - Pemandu Proton Wira yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 32.8, Lebuhraya Persekutuan menghala Klang pagi tadi, dipercayai memandu secara melawan arus.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa yang merupakan seorang warga emas maut selepas kenderaan dipandunya itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda City.

“Dalam  kejadian pada jam 1.45 pagi tadi, mangsa berusia 72 tahun dilaporkan memandu secara melawan arus sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Getaran, 4 Julai 2022