Warga emas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya, rempuh 3 motosikal

19 Jan 2024 • 8:29 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang wanita warga emas, Tan Leuk Ley, 76, didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah Georgetown atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga merempuh tiga motosikal dalam kejadian di Jalan Bukit Gambar, tahun lalu.

Bekas kerani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.

Pada jam 2.15 petang, 27 November 2023, tertuduh didakwa memandu kereta Perodua Myvi di Jalan Bukit Gambir dengan kelajuan berbahaya dan merempuh tiga motosikal.

Kemalangan yang turut membabitkan empat buah kenderaan lain itu menyebabkan lima mangsa mengalami kecederaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun, peguam tertuduh, Dev Kumaraendran memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mengalami ketumbuhan dalam telinga (kolesteatoma) dan hilang pendengaran pada telinga kanan sejak 2002.

Selain perlu menjalani rawatan susulan di hospital, Dev mengatakan Tan hanya mempunyai pendapatan pencen RM1,800 sebulan dan kini dijaga oleh anak perempuannya selepas kematian suami, 10 tahun lalu. Tambahan, Tan turut memberi kerjasama yang baik kepada polis.

Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin menetapkan jaminan RM15,000 untuk kesemua pertuduhan, dengan penjamin dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.

8 Mac 2024 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber: Harian Metro