Warga Emas ‘Mok Su Viral Muka Bedak Sejuk’ Maut Dilanggar Kereta Di Kota Bharu

LocalCars
2 Feb 2026 • 7:24 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Kota Bharu – Seorang wanita warga emas yang dikenali ramai sebagai Mok Su Viral Muka Bedak Sejuk dilaporkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta di hadapan Shell Jalan Sultan Ibrahim, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.35 pagi, mangsa, Tengku Jariahhanna Tuan Ismail, 71, dipercayai sedang melintas jalan dari bahu kiri ke bahu kanan sebelum dirempuh kenderaan yang datang dari arah KB Mall menghala ke Bulatan Padang.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.46 pagi.

Pemandu Tidak Sempat Mengelak, Mangsa Meninggal Di Zon Merah

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta berada di laluan lurus dan tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.

Difahamkan, Allahyarhamah dikenali penduduk setempat sebagai seorang yang peramah dan gemar berpantun, malah sering menghiburkan orang ramai di media sosial dengan gelagat bersahaja, menjadikan pemergiannya satu kehilangan besar buat komuniti setempat. – The Malaysian Update