Warga emas rentung di Sandakan

26 Mar 2026 • 3:30 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 77 tahun ditemukan rentung selepas kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah atas air di Kampung Mumiang, malam Selasa.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 7.19 malam dan sebuah pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kira-kira 70 kilometer dari balai.

Menurut Ketua Balai BBP Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung, pasukan tersebut menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi berikutan tiada laluan darat, keadaan air laut surut serta keperluan menggunakan bot milik agensi penyelamat lain.

“Pasukan akhirnya tiba di lokasi pada jam 11.40 malam dengan bantuan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu yang musnah sepenuhnya. Sebelum ketibaan pasukan bomba, penduduk kampung telah menjalankan pemadaman awal menggunakan pam air milik mereka,” katanya.

Tambahnya, mangsa dikenali sebagai Lee Thung Mong ditemui rentung di dalam rumah oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berada di lokasi lebih awal.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi memadam sisa bara menggunakan pam air milik penduduk kampung serta mengeluarkan mangsa dari kawasan kebakaran.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya di kawasan sekitar.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

CapKEADAAN rumah itu selepas kebakaran tersebut.