Warga emas rugi RM4 juta dijerat sindiket tipu saham

26 Jan 2024 • 3:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ramli

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas berputih mata selepas terjerat sindiket tipu pelaburan saham bernilai RM4 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, satu laporan diterima pihaknya pada 25 Januari lalu daripada mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun.

"Siasatan awal mendapati, mangsa telah melihat iklan pelaburan tersebut semasa melayari laman sosial dan kemudiannya menekan pautan yang diberikan.

"Mangsa seterusnya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatApps pelaburan itu dan diberikan kelas, tips dan nota berkaitan pelaburan yang ditawarkan selain dijanjikan pulangan sebanyak 380 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, terpedaya dengan taktik yang digunakan, pengadu telah membuat pindahan wang ke 11 akaun syarikat yang diarahkan.

Katanya, jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan bernilai kira-kira RM4 juta.

"Sehingga kini, mangsa tidak pernah menerima sebarang pulangan keuntungan dan siasatan dijalankan polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.