Warga emas rugi RM823,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

LocalBusiness & Finance
22 Dec 2024 • 1:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang warga emas kerugian RM823,000 akibat terpedaya dengan pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan

image is not available
Shahrulanuar Mushaddat

BATU PAHAT - Seorang warga emas berputih mata apabila wangnya berjumlah RM823,000 lesap akibat terpedaya dengan pelaburan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, pada 23 September lalu, peniaga berusia 61 tahun itu telah tertarik dengan satu iklan pelaburan yang menawarkan kadar pulangan keuntungan yang tinggi.

Katanya, mangsa kemudiannya telah berurusan dengan individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp dan diyakinkan mengenai pelaburan berkenaan termasuk keuntungan yang bakal diperoleh.

**media[2937422]**

"Dalam tempoh 18 November hingga 17 Disember 2024 mangsa telah memasukkan wang kepada dua akaun secara berperingkat berjumlah RM823,000.

"Selepas itu mangsa melihat keuntungan yang diperoleh sebanyak RM1,100,190 dan mahu membuat pengeluaran wang, namun mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran bagi mendapatkan keuntungan berkenaan.

"Bagaimanapun, mangsa tidak membuat apa-apa bayaran kerana mulai berasa curiga terhadap kesahihan pelaburan berkenaan selain mengesyaki telah ditipu apabila tidak mendapat apa-apa daripada pelaburan tersebut," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Shahrulanuar turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan kadar pulangan keuntungan yang lumayan.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk melayari laman sosial Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial," katanya.