Warga emas sebatang kara berteduh di pondok usang

26 Sep 2023 • 12:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hock Chuang berdiri di depan pondok yang dibinanya berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Bunga Raya, di sini, sejak tiga tahun lalu.

image is not available
Keadaan pondok warga emas terbabit yang didiami sejak tiga tahun lalu.

MELAKA - Seorang warga emas yang hidup sebatang kara terpaksa berteduh di sebuah pondok berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Bunga Raya, di sini, sejak tiga tahun lalu.

Tan Hock Chuang 62, berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai penjaga parkir dan dibayar gaji sebanyak RM40 sehari, selain mampu menyewa di sebuah bilik dengan kadar bayaran RM200 sebulan.

Namun menurutnya, segalanya berubah setelah pergelangan kaki kanannya diuji kesakitan dan mengalami bengkok sehinggakan sukar untuk bergerak dan bekerja seperti biasa.

Katanya, setelah tidak mampu bekerja, dia hanya mengharapkan simpati orang ramai untuk mendapatkan makanan selain terpaksa mengutip tin minuman dan barangan kitar semula untuk menjualnya bagi mendapatkan wang.

"Kerana tiada wang untuk membayar sewa bilik, jadi saya terpaksa menumpang teduh di pondok ini beberapa tahun lalu.

"Sepanjang tinggal di sini, apabila malam saya terpaksa bergelap dan hanya tidur beralaskan kerusi kayu," katanya ketika ditemui di sini, pada Selasa.

Tambahnya, dia berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat meluluskan permohonan bantuan bulanan kepadanya bagi meringankan beban.

Ujarnya, masalah kakinya pernah dirujuk di hospital Kuala Lumpur, namun disebabkan kos pembedahan yang dianggarkan mencecah RM45,000 membuatkan dia terpaksa melupakan hasrat untuk merawat kesakitan yang ditanggung sehingga sekarang.

"Lagipun tiada siapa nak membantu, saya anak tunggal, selepas ibu bapa saya meninggal dunia saya terpaksa hidup sendirian dan tiada saudara-mara yang mengambil tahu," katanya lagi.

Terdahulu kesusahan hidup warga emas itu turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin.