Warga emas tersilap tekan pedal minyak, kereta rempuh farmasi

LocalCars
23 Sep 2024 • 7:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta dipandu seorang wanita warga emas merempuh sebuah farmasi di Jalan Lingkaran 2, Taman Sri Lambak, Kluang pada Isnin. Foto IPD Kluang

KLUANG - Tersilap tekan pedal minyak menyebabkan kereta dipandu seorang warga emas merempuh sebuah farmasi di Jalan Lingkaran 2, Taman Sri Lambak di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada jam 12 tengah hari itu membabitkan pemandu wanita berusia 68 tahun.

"Semasa mahu meletakkan kenderaan di dalam kawasan parkir, wanita terbabit telah tersalah tekan pedal minyak menyebabkan kereta jenis Inokom Atos hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam farmasi.

“Akibat kejadian itu, besi kaki lima hadapan premis patah, cermin kaca pintu hadapan kedai pecah dan mengalami kerosakan barang-barang farmasi," katanya dalam kenyataan.

Menurut Bahrin, pemandu wanita terbabit tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).