
GEORGE TOWN – Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeret seekor anjing betina dengan motosikal hingga menyebabkan haiwan itu mengalami kecederaan pada kaki, September lalu.
Tertuduh, Lee Beng Hooi, 62, yang merupakan seorang mekanik bersama rakannya, Yeoh Keat Chye, 62, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama telah menyeret seekor anjing betina warna hitam yang diikat dengan seutas rantai besi di atas permukaan jalan dengan menggunakan sebuah motosikal jenis Honda EX5 hingga menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan yang tidak sepatutnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di Lorong belakang deretan rumah teres di Jalan Hijau Empat hingga ke sebelah rumah No. 367A, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim di sini, kira-kira pukul 6.26 hingga 6.30 petang, 23 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut subseksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan, dengan memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Noorfaiz Fikri Nor Azmi dan Azhar Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes untuk prosiding selanjutnya.
Sementara itu, Azhar ketika ditemui pemberita di luar pekarangan mahkamah berkata, anjing yang diberi nama ‘Blacky’ itu kini berada di bawah jagaan sementara pihak JPVPP selepas mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki akibat kejadian itu.
Sebelum ini, tular video berdurasi 54 saat yang memaparkan dua lelaki mengheret seekor anjing menggunakan motosikal sehingga membangkitkan kemarahan dan kecaman pengguna media sosial. -KOSMO! ONLINE
The post Warga emas tidak mengaku seret ‘Blacky’ hingga cedera appeared first on Kosmo Online.

