
KENINGAU: Polis sedang mencari seorang warga Filipina yang berkahwin dengan wanita tempatan selepas mayat seorang warga Pakistan ditemui mati dibunuh dan ditanam berhampiran Kg Kitung, Jalan Keningau.
Mangsa, Abdul Hafiz, seorang peniaga berumur 30 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian belakang kepala dan telinga kanan. Mayatnya ditemui ditanam kira-kira 100 meter dari rumah warga Filipina terbabit yang bekerja sebagai penjaga kebun getah dan tinggal bersama tiga anak. Motif pembunuhan masih belum diketahui.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai, berkata polis menerima laporan pada jam 2 petang, 22 Sept, daripada rakan mangsa yang memaklumkan bahawa sehari sebelumnya, pada jam 5.12 petang, dia ada berbual dengan Abdul Hafiz. Ketika itu, mangsa memberitahu bahawa dia akan berjumpa seseorang di Kg Meninipir, Keningau dan akan pulang selepas “menyelesaikan satu urusan”.
Bagaimanapun, ketika cuba menghubungi mangsa pada jam 5.12 petang hari sama, usahanya gagal. Pada jam 6.53 petang pula, pengadu menerima mesej teks daripada nombor mangsa yang mengandungi gambar lokasi terakhirnya di Jalan Mangkalias, Tenom.
“Bertindak atas laporan pada 22 Sept, pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Keningau diketuai Ketua Balai melakukan pencarian awal di kawasan Kg Mangkalias tetapi mangsa tidak ditemui.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 petang membawa kepada penemuan sebuah telefon bimbit biru jenama Redmi dengan casing lutsinar yang disahkan milik mangsa,” katanya.
Pencarian kemudian dibuat di Kg Meninipir, sebelum beralih ke Kg Kitung mengikut petunjuk baru. Di situ mereka menemukan motosikal mangsa, pakaian serta sebilah parang bersarung dalam guni putih, selain timbunan tanah baharu di mana mangsa ditanam.
Mayat Abdul Hafiz kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.


