
SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM50,000 atau penjara tiga bulan terhadap seorang lelaki warga Filipina atas kesalahan memiliki sejumlah 1,769 telur penyu hijau tanpa izin.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhi hukuman itu ke atas Abdu Rasah Amin, 57, selepas tertuduh mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil haiwan yang dilindungi sepenuhnya, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(a) Enakmen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM50,000 dan RM250,000 dan penjara antara setahun dan lima tahun.
Mahkamah mendengar bahawa Abdu Rasah ditahan kira-kira jam 11.50 pagi 15 Julai lalu di sebuah rumah di Jambatan 1, Kampung Bokara, Karamunting Sandakan.
Ketika itu, tiga agensi iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan Sabah diketuai oleh Inspektor Mohd Safuan Mohamad Soud telah menjalankan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Pemeriksaan terhadap rumah berkenaan menemui 36 beg plastik berwarna hijau yang mengandungi sejumlah 1,769 biji telur penyu disimpan di bahagian ruang tamu rumah.
Dalam rayuannya, Abdu Rasah yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya selain dia juga sakit, mempunyai empat anak dan tujuh cucu yang dijaga bersama isterinya.
Pegawai Pendakwa dari Jabatan Hidupan Liar Sabah, Abdul Karim Dakog berkata, spesis penyu hijau merupakan spesis dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 di Sabah kerana ia semakin terancam.
Salah satu ancaman ini berpunca daripada aktiviti memiliki telur penyu secara tidak sah kerana adanya permintaan secara haram, katanya.
Justeru, Abdul Karim meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada pesalah dan orang awam agar tidak melakukan perkara yang sama.
Abdul Karim juga memohon agar kesemua telur penyu itu dihantar ke pusat penetasan penyu di Pulau Lankayan, Sandakan untuk penetasan semula.
Hakim membenarkan barang kes itu dikembalikan kepada pihak pendakwaan bagi tujuan penetasan tersebut.
Mahkamah juga memerintahkan agar Abdu Rasah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjaranya.
Sementara itu, ahli keluarga Abdu Rasa turut dilihat hadir di mahkamah pada Jumaat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

