
Warga Indonesia Puji Pengurusan Ibadah Korban Di Malaysia, Ini Sebabnya
Hari Raya Aidiladha merupakan antara perayaan terbesar yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Perayaan ini bukan sahaja sinonim dengan ibadah korban, malah membawa makna pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Sempena sambutan ini, umat Islam yang berkemampuan akan melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing atau kerbau.
Daging korban kemudian diagihkan kepada golongan memerlukan, fakir miskin, saudara-mara dan masyarakat setempat sebagai lambang kebersamaan serta semangat berkongsi rezeki.
Di banyak tempat, ibadah korban turut dilakukan secara bergotong-royong yang mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti.
Aktiviti melapah daging, memasak secara merewang dan pengagihan daging korban mencerminkan nilai perpaduan serta semangat bantu-membantu yang menjadi teras dalam masyarakat Islam.
Baca juga:
Lelaki Jerman Kagum Dengan Malaysia, Tak Sangka Urusan Ini Selesai Dalam 2 Jam
Lain Macam Cara Makan Nasi Kandar, Ramai Terhibur Tengok Gelagat Wanita Ini
Lelaki Indonesia puji ibadah korban di Malaysia
Baru-baru ini, umat Islam telah meraikan hari raya Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban. Namun, apa yang mencuri perhatian adalah satu kiriman yang telah dimuat naik oleh salah seorang warga Indonesia, @elskxy di platform X.
Kongsinya, dia tertarik dengan cara negara kita mengendalikan ibadah korban. Ujarnya, di Malaysia, proses pemotongan daging korban dilakukan oleh golongan profesional.

"Bahagian potong kecil-kecil dan pembungkusan dilakukan di atas meja," tambahnya.
Malah, dia juga memberitahu, di Malaysia, tidak ada drama atau aksi yang menunjukkan haiwan yang dikorbankan kesakitan atau sebagainya.
"Jam 10 dah mula, selepas itu jam 12 dah mula bahagikan daging. Bekas pembungkusan pun lebih bersih dan sesuai," tulisnya.
"Malaysia hebat dalam banyak perkara"
Perkongsian itu turut menerima pujian seorang lagi pengguna X, @abdulmuzaffar10 mengenai perkara ini.
Dia juga membandingkan sistem di Malaysia yang lebih baik berbanding negaranya.
Malah, dia juga menyatakan negara ini jauh lebih unggul dalam banyak perkara
"Ah Malaysia, sudah unggul di mana-mana.
"Malah dalam perkara yang sederhana seperti ibadah korban pun mereka sudah jauh ke depan. Jelas sekali pengurusannya jauh lebih profesional," katanya.
Ujarnya juga, sekiranya suatu bangsa peduli mengenai pendidikan dan tahu mengenai visi dan misi ekonominya, bangsa itu tidak akan ketinggalan.
"Indonesia? Jauh sekali," katanya lagi.
Reaksi netizen
Sementara itu, perkara ini juga telah menerima pelbagai reaksi netizen dari kedua-dua belah negara.
"Kalau kat Indonesia, buat korban macam mana? Siapa yang tukang potong daging? Bukan kariah masjid ke? Bahagi kan daging siapa pula? Kalau tempat saya sini, kariah masjid. Mereka tahu peranan masing-masing, mana yang tahu melapah, buat kerja melapah," tulis seorang netizen.
"Tak semua macamtu, dekat masjid tempat saya, potongan daging korban di bahagikan dalam bekas macamtu. Takde beratur, dibahagikan terus ke rumah," ujar seorang lagi.
"Di Indonesia saya nampak masih ada yang memelihara nilai gotong royong. Jadi, ketika korban, yang dilibatkan adalah warga sekitar," tulis seorang lagi.
"Tak perlu perbandingan. Masing-masing ada cara tersendiri. Kalau itu yang sesuai dengan mereka, takde masalah," komen seorang lagi.
