Warga KKD diseru cari kesimbangan hidup dan kerjaya

31 Oct 2023 • 3:44 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) diseru agar berusaha mencari keseimbangan hidup dan kerjaya kerana ia adalah kunci kepada kesihatan mental yang baik, kebahagiaan dan produktiviti yang tinggi, kata Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (gambar).

Berucap merasmikan Hari Psikologi peringkat KKD 2023 di sini hari ini, Mohamad Fauzi berkata keseimbangan hidup dan kerjaya semakin penting dalam kehidupan masa ini dan dunia yang semakin sibuk serta tahap tekanan yang kian tinggi di tempat kerja.

“Perlu diingat bahawa tiada satu cara yang spesifik atau tiada cara yang betul atau salah untuk mencapai keseimbangan ini. Setiap individu mempunyai keperluan dan keutamaan yang berbeza. Oleh itu, adalah penting untuk mengenali diri sendiri dan mencari cara untuk mencapai keseimbangan yang sesuai untuk diri kita,“ katanya.

Beliau berkata KKD melalui Bahagian Sumber Manusia (BSM) sentiasa mencari pelbagai pendekatan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan mental warga KKD.

“BSM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada warga KKD sekiranya tuan-tuan dan puan-puan ingin membincangkan perihal prestasi dan kerjaya, kesihatan, keluarga, pembangunan dan kemahiran, kerohanian, kewangan, sikap, ketagihan, psikososial dan lain-lain,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata pihak majikan juga boleh memainkan peranan untuk memastikan keseimbangan tersebut dapat dicapai termasuk mengurangkan tekanan kerja dan mempromosikan persekitaran yang sihat di tempat kerja.

Mengenai majlis hari ini yang bertemakan 'Memacu Kesejahteraan Psikologi Modal Insan : “Work-Life Balance”', Mohamad Fauzi berkata program itu diharap dapat memperkukuh potensi diri warga KKD bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI dengan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

Pada majlis itu, Mohamad Fauzi turut melancarkan laman web e-mentoring@KKD yang merupakan inisiatif unit pengurusan psikologi, BSM, bagi mendigitalkan pelaksanaan program pementoran di KKD yang bermula tahun ini.

Pelaksanaan program pementoran secara digital membolehkan mentor dan menti melaksanakan sesi pertemuan dan bimbingan di mana-mana sahaja tanpa perlu membawa buku log dan buku panduan program pementoran secara fizikal. -Bernama