Warga Pakistan bergaduh hingga cedera depan kedai runcit ditahan polis

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 10:03 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

BELURAN – Enam lelaki warga Pakistan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam satu pergaduhan yang tular di media sosial di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Kubambang, Paitan, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira jam 4 petang apabila sekumpulan lelaki telah berjumpa dengan mangsa, yang juga warga Pakistan, di kawasan kaki lima premis berkenaan.

“Berlaku pertengkaran antara mereka akibat salah faham sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima tujuh jahitan akibat kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan kejadian itu serta rakaman video yang tular, pihak polis berjaya mengenal pasti dan menahan enam individu yang dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut.

Tambahnya, permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran, Asisten Superintenden Azhani Amat Khairi di talian 019-3132244 atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Jamsari Zakaria di talian 019-8330661.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 29 saat memaparkan sekumpulan individu terlibat dalam pergaduhan, termasuk menggunakan objek kayu untuk memukul mangsa, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved