Warga Pakistan Menyamar Doktor Ditahan, Klinik Swasta Disyaki Jual MC Palsu

LocalHealth & Fitness
27 Jun 2026 • 6:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Warga Pakistan Menyamar Doktor Ditahan, Klinik Swasta Disyaki Jual MC Palsu

KUALA LUMPUR - Kegiatan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai menyamar sebagai doktor menggunakan identiti dan sijil kelayakan milik individu lain terbongkar, selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di sebuah klinik swasta di Subang Bestari, Khamis.

Serbuan yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu dibuat hasil risikan selama sebulan.

Siasatan awal mendapati, suspek bukan sahaja tidak memiliki pasport atau pas yang sah untuk berada di negara ini, malah tidak mempunyai kelayakan untuk menjalankan amalan perubatan.

Menurut JIM, klinik berkenaan dipercayai beroperasi hampir setahun dengan menggunakan Sijil Perakuan Amalan Tahunan (Annual Practising Certificate, APC) milik individu lain bagi mengaburi pesakit dan pihak berkuasa.

“Pasukan operasi turut merampas peralatan perubatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan ini termasuk cop nama suspek, cop nama klinik, tablet, buku rekod transaksi, dokumen APC dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan premis klinik swasta itu sejak lapan bulan lalu untuk menjalankan aktiviti perubatan secara haram,” menurut kenyataan JIM.

JIM mendedahkan, klinik itu dipercayai diuruskan seorang warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah untuk bekerja dalam sektor perubatan di negara ini.

Suspek dipercayai diupah oleh individu terbabit untuk bertindak sebagai doktor tanpa kelayakan dengan menggunakan dokumen APC serta sijil perubatan milik individu lain, bagi memperdaya pesakit dan pihak berkuasa.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati, klinik berkenaan dipercayai mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) tanpa menjalankan pemeriksaan atau penilaian kesihatan terhadap pelanggan.

“Setiap sijil cuti sakit dipercayai dijual pada harga RM20 seorang,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pelbagai peralatan dan dokumen pentadbiran dipercayai digunakan bagi menyokong kegiatan berkenaan turut dirampas.

Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.

Dalam perkembangan sama, seorang wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Menurut JIM, tangkapan itu merupakan kes keempat sejak 2024 membabitkan warga asing yang dipercayai menyamar atau menjalankan tugas sebagai doktor tanpa kelayakan.

Jabatan itu menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan negara. - Getaran, 27 Jun 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved