SEREMBAN, 24 JAN: Warga pendidik berperanan besar dalam menangani cabaran generasi keresahan (anxious generation) yang boleh mengancam pembangunan emosi dan mental pelajar.
Dato’ Menteri Besar berkata isu berkenaan perlu ditangani dengan tuntas khususnya di peringkat sekolah rendah dan menengah bagi mengelak kesan negatif terhadap perkembangan diri pelajar serta kestabilan sosial pada masa hadapan.
Dato’ Seri Amirudin Shari menambah, usaha melahirkan generasi seimbang dari aspek jasmani dan rohani menuntut kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan komuniti selaras kerangka Madani yang menjadi asas pembangunan negara kini.

“Empat simptom utama melingkari kelompok ini iaitu rasa dikecualikan secara sosial, kekurangan tidur, kerapuhan fokus, dan ketagihan media sosial. Inilah generasi kita perlu hadapi sekarang.
“Guru dan (sistem) pendidikan perlu menyedari hal ini untuk memastikan kita melatih dan buka fikiran mereka supaya tidak dalam kepompong yang dilahirkan oleh ‘big machine’ ini,” katanya dalam program Bicara Eksekutif Madani Institut Aminudin Baki (IAB) di Bandar Enstek di sini.
Berucap di hadapan lebih 800 hadirin, Amirudin berkata kajian pakar psikologi sosial Amerika Syarikat Jonathan Haidt mengenai generasi muda hari ini, harus diambil iktibar berhubung kesan ledakan media sosial yang akhirnya membentuk kelompok golongan muda yang hidup dalam keresahan.

Sementara itu, Pengarah IAB Ab Aziz Mamat berkata sesi itu diharap dapat memberi perspektif luas mengenai kerangka Malaysia Madani terutama berkait aspek pendidikan.
Menurutnya, program bicara yang masuk siri kelima menjemput Amirudin selepas beberapa tokoh lain termasuk Menteri Kabinet dijemput sebelum ini.

“Ia diharap menggalakkan perkongsian dan pembugaran ilmu pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pengurusan dan kepimpinan Malaysia Madani.
“Warga pendidik jadi ejen utama membentuk pewaris generasi baharu Malaydia Madani yang menjadi nadi pembangunan negara mampan,” katanya.
The post Warga pendidik berperanan besar tangani cabaran generasi keresahan appeared first on Selangorkini.

