Warga Rohingya dikhuatiri lemas selepas menjala ikan

31 Aug 2022 • 8:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba melakukan pencarian seorang lelaki etnik Rohingya yang hanyut semasa menyeberang sungai selepas menjala ikan.

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki etnik Rohingya dikhuatiri lemas dibawa arus semasa menyeberang Sungai Melayu selepas menjala ikan di Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah, dekat sini pada Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 3 petang.

"Mangsa, Anayatullah Habi Rahman yang berusia 27 tahun pergi menjala bersama-sama rakannya pada jam 9 pagi. Semasa menyeberang sungai untuk pulang ke rumah, mangsa hanyut dibawa arus dan hilang.

"Susulan itu seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dilakukan sehingga kini.