Warga SMK Seri Permaisuri terima 600 unit Jalur Gemilang

18 Aug 2022 • 10:47 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Permaisuri, Kuala Lumpur gembira dan bersyukur selepas menerima tajaan Jalur Gemilang daripada sebuah platform e-dagang, Edesa.

Dengan sumbangan sebanyak 600 unit Jalur Gemilang, pihak sekolah akan memanfaatkannya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Menurut Pengetuanya, Rozita Puteh, warga sekolah termasuk para guru dan pelajar akan bergotong royong memasang dan menghiasi seluruh kawasan sekolah dengan kibaran Jalur Gemilang.

“Saya berterima kasih dan bersyukur kepada pengurusan Edesa yang sudi menyumbangkan Jalur Gemilang dalam jumlah yang besar ini.

“Sumbangan tersebut tepat pada masanya kerana kami memang sudah merancang untuk mengadakan sambutan Kemerdekaan peringkat sekolah dalam masa terdekat,” ujarnya selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan Jalur Gemilang di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

image is not available

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Edesa, Saiful Zaharin berkata, sebagai sebuah platform e-dagang berkonsepkan Produk Orang Kita, Edesa terpanggil untuk sama-sama menghayati erti kemerdekaan dan menyemaikan semangat cintakan negara kepada generasi muda.

Oleh itu katanya, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Edesa berbesar hati menyumbangkan Jalur Gemilang kepada warga SMK Seri Permaisuri.

“Saya berharap dengan sumbangan kecil kami ini dapat membantu menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan sekolah ini.

“Semoga generasi muda dapat menghayati dan memahami erti sebenar kemerdekaan dan memupuk semangat jati diri serta patriotisme dalam diri seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

image is not available

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok