TAWAU: Peranan anggota tentera dalam mempertahankan negara tidak akan dapat digalas dengan sempurna tanpa sokongan keluarga yang menjadi nadi kekuatan mereka.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anggota tentera dan keluarga mereka adalah ‘warga pertahanan negara’ yang sentiasa perlu menilai setiap tindakan dengan mengambil kira faktor keselamatan negara.
Katanya, bagi masyarakat umum, soal keselamatan negara mungkin jarang difikirkan dalam membuat pertimbangan, namun bagi warga tentera dan keluarga mereka, aspek itu perlu menjadi keutamaan.
“Kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan hanya bergantung kepada keupayaan aset atau latihan sahaja.
“Namun, turut bergantung kepada kestabilan dalaman negara yang membolehkan anggota memberi tumpuan sepenuhnya kepada ancaman luar,” katanya
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Kabota, di sini, hari ini.
Menurutnya, Karnival ATM bukan sekadar program riadah, sebaliknya satu platform penting untuk memperlihatkan komitmen kerajaan dalam menjaga aspek pertahanan menyeluruh.
“Ia merangkumi kesiapsiagaan anggota, kebajikan keluarga serta kesedaran masyarakat terhadap peranan ATM,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, anggota tentera seharusnya dapat fokus menghadapi ancaman tradisional dan bukan tradisional, namun fokus itu boleh terjejas sekiranya wujud kekacauan dalaman yang tidak sepatutnya berlaku.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan wujudnya sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi memastikan negara terurus, makmur serta mampu menyokong usaha-usaha pertahanan negara.
“Kemakmuran negara mempunyai hubungan langsung dengan tahap keselamatan dan kedaulatan, dan ketiadaan kemakmuran boleh menimbulkan cabaran kepada aspek keselamatan.
“Saya menekankan kepentingan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang dibentuk atas persetujuan semua negeri,” katanya.
Katanya, tindakan pihak tertentu menghasut kebencian terhadap Persekutuan adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana ia boleh memberi kesan kepada pelaksanaan tanggungjawab pertahanan di peringkat nasional.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa anggota tentera adalah kelompok yang tidak pernah berhenti bekerja walaupun selepas pilihan raya atau ketika orang ramai menjalani rutin harian seperti biasa.
“Anggota keselamatan bekerja tanpa cuti, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, 365 hari setahun demi menjaga lima sempadan negara serta empat perairan utama. Ini komitmen yang luar biasa,” katanya.
Karnival Hari Keluarga ATM tahun ini menghimpunkan seramai 5,000 warga ATM dan keluarga di tiga lokasi iaitu Kem Kabota Tawau, Astaka Taman Samudera Rumah Keluarga TLDM Sandakan, serta Markas 13 Briged Lahad Datu.

Program itu diisi pelbagai aktiviti seperti sukaneka, pertandingan tradisional, e-sukan, senamrobik, dan aktiviti komuniti termasuk Program Semarak ATM Bersama Komuniti yang berlangsung di Felda Sahabat melibatkan 200 penduduk serta 50 anggota Operasi PASIR.
Penganjuran karnival ini turut menyokong agenda Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) serta pendekatan Whole of Government and Society (WoGos) dalam memperkukuh kesepaduan warga pertahanan dan masyarakat.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Hj Noorul Azril Ariffin serta pegawai kanan TDM dan TLDM.

