
SERI ISKANDAR: Dua institut pengajian tinggi (IPT) di Perak hari ini iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Politeknik Ungku Omar (PUO) mengadakan perhimpunan aman bagi menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel di bumi Gaza.
Lebih 500 peserta termasuk mahasiswa dari Palestin dan negara lain seperti Yaman, Indonesia, Nigeria dan Pakistan berhimpun di pekarangan Masjid An-Nur UTP selepas solat Jumaat.
Mereka memakai mafela dengan motif Palestin, membawa plakad, melaungkan 'Palestin' dan 'Israel shame of you' bagi mengecam tindakan kejam rejim zionis.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTP, Silvestre Ronaldo Jr Sunny berkata walaupun beliau beragama Kristian, beliau tetap bersolidariti dengan rakyat Palestin yang ditindas Israel.
“Isu yang menimpa negara di Asia Barat itu lebih cenderung kepada soal ketidakadilan dan krisis kemanusiaan malah kami amat terkilan dengan penderitaan dihadapi rakyat Palestin. Hospital, masjid malah gereja pun dibom oleh Israel,“ katanya dalam sidang media.
Sementara itu, seramai lebih 2,000 pelajar dan kakitangan PUO berhimpun sebagai tanda solidariti untuk Palestin pada Himpunan Solidariti PUO Bersama Palestin anjuran MMP politeknik itu dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE).
Menurut PUO dalam kenyataan himpunan aman itu berlangsung di Dewan Jubli Perak PUO dan turut dihadiri oleh Pengarahnya Dr Shamsuri Abdullah serta aktivis MyCARE Ir Megat Shariffudin Ibrahim.
Menurut kenyataan itu, Shamsuri turut melancarkan Tabung Palestin PUO pada perhimpunan itu sebagai inisiatif keprihatinan dan tanda solidariti serta semangat kemanusiaan warga PUO terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Himpunan Solidariti PUO Bersama Palestin ini merupakan satu manifestasi keprihatinan warga PUO dalam melahirkan mahasiswa TVET yang holistik dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal serta cakna dan peka terhadap isu-isu sejagat agar dapat membentuk jati diri sebenar sebagai modal insan negara,“ menurut kenyataan itu. -Bernama


