Warganet Kritik Persembahan Lagu Negaraku, Cukup Nyanyikan Versi Normal 

Music
10 Sep 2022 • 10:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pengguna Twitter mempersoalkan, mengapa lagu kebangsaan tersebut dipersembahkan sedemikian rupa, termasuk iringan gitar elektrik. - Gambar Media Sosial

KUALA LUMPUR - Persembahan lagu Negaraku sebelum perlawanan akhir Piala FA antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, mendapat kritikan warganet.

Ada kalangan pengguna Twitter mempersoalkan, mengapa lagu kebangsaan tersebut dipersembahkan sedemikian rupa, termasuk iringan gitar elektrik.

Seorang pengguna, @muhdzahari bertanya, apakah Negaraku boleh dinyanyikan seperti itu manakala @syafinazameera pula berpendapat, ia perlu dinyanyikan sebagaimana asal.

"Dah kenapa match JDT vs Teregganu ni dibuatnya lagu Negaraku versi rock? Aduhai," ciap @rovskyi.

Pengguna, @faz_baek pula meminta penjelasan, siapakah yang mencetuskan idea untuk menyanyikan lagu Negaraku dalam versi berkenaan.

"Tapi macam seram bunyinya jadi Negaraku ni,” ciap pula @nmaisarahalia.

@syedb0lat pula berkata, dia menyangka acara itu adalah kejohanan Super Bowl, iaitu perlawanan tahunan bola sepak Amerika (American football).

Bagi @Ark_Arif96, dia berpandangan lagu Negaraku lebih 'gempak' sekiranya dinyanyikan dengan iringan kumpulan orkestra. - Getaran, 10 September 2022