
PENAMPANG: Kerajaan digesa memantau dengan lebih ketat pelaksanaan projek pembangunan luar bandar di Penampang khususnya membabitkan berbukit bagi memastikan tidak mendatangkan kesulitan atau risiko kepada penduduk setempat.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Penampang Christopher Masudal berkata pemantauan berterusan penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut spesifikasi serta kaedah kerja yang ditetapkan.
“Apa yang paling penting ialah mengambil kira aspek keselamatan penduduk di kawasan berhampiran.
“Kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang warga emas di Kampung Sarapung Kolopis tahun lalu adalah contoh yang patut kita elakkan.
“Pemotongan dan penerokaan bukit tanpa kawalan adalah antara penyebab utama berlakunya keruntuhan tanah.
“Kawasan berbukit di Kibabaig dan Sugud juga adalah dua zon merah yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa penerokaan bukit yang berterusan dikhuatiri mencetuskan lebih banyak kejadian tanah runtuh, banjir lumpur dan bencana alam di Penampang yang sudah kerap dilanda musibah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lalu, beberapa NGO melaporkan 17 kejadian tanah runtuh berlaku di beberapa kampung yang teruk terjejas seperti Madsiang dan Pogunon. Jurutera Daerah JKR berkata bencana itu turut dicetuskan oleh intensiti hujan yang luar biasa.
Dalam hal ini Warisan Penampang amat menghargai keazaman dan usaha pemimpin masyarakat di daerah ini dalam membawa pembangunan ke kawasan masing-masing dan berharap mereka terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Saya juga berharap pemimpin masyarakat seperti JKKK dan Ketua Kampung dapat turut memantau dari semasa ke semasa projek yang sedang dilaksanakan kontraktor di kawasan masing-masing supaya ia mengikut spesifikasi dan kaedah kerja yang sepatutnya.
“Kita mahu memastikan penduduk kampung mendapat manfaat sepenuhnya daripada projek yang dilaksanakan demi kebaikan masyarakat setempat. Pada masa sama, kontraktor yang menjalankan projek perlu memastikan kepentingan dan kebajikan penduduk kampung sentiasa terpelihara,” katanya.
Masudal berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kampung Koliasan-Moyog pada 1 Oktober lalu selepas dimaklumkan mengenai kejadian banjir lumpur yang berlaku ketika hujan lebat baru-baru ini.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila tanah yang dikumpulkan di kawasan bukit bagi tujuan pembinaan projek jalan kampung mengalir turun bersama air hujan dan memasuki kawasan penempatan penduduk.
“Penduduk memaklumkan kepada saya bahawa kejadian ini mungkin berpunca daripada keadaan apabila kontraktor tidak menjangkakan air hujan akan membawa turun tanah dari kawasan bukit.
“Air bukan sahaja mengalir mengikut laluan jalan yang sedang dibina, tetapi turut melimpah keluar mengikut cerun bukit,” katanya.

