
SANDAKAN: Parti Warisan Bahagian Libaran telah membuat laporan polis terhadap Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili kerana menuduh Warisan mesra Pendatang Tanpa Izin (PTI).
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Bandar Sandakan pada jam 10.30 pagi, Khamis, dan turut dihadiri oleh Adun Gum-Gum, Arunarnsin Taib serta Ketua Zon KDMR Warisan Unity Zon Libaran, Sh Bokrata Sh Hassan.
Warisan Bahagian Libaran menuntut agar pihak polis melakukan siasatan ke atas fitnah yang dibuat oleh Maximus tanpa mengambil kira kedudukan Maximus kerana fitnah tersebut seharusnya tidak menjadi senjata politik setiap kali musim pilihan raya diadakan.
Pada 22 Oktober lalu, Maximus ketika berucap semasa Pelancaran Jentera Pilihanraya GRS di Tenom, didakwa menyatakan bahawa PBS belum bersedia untuk bekerjasama dengan Warisan kerana parti itu berlatarbelakangkan mesra PATI.
Selain itu, Maximus juga didakwa mengatakan bahawa ‘akar umbi mereka (Warisan) banyak golongan PTI.
Menurut Arunarnsin, Warisan Bahagian Libaran menbantah sekeras-kerasnya fitnah tersebut yang secara jelas tidak bertanggungjawab dan melampau dilemparkan bagi tujuan menjatuhkan serta memburukkan reputasi Warisan serta pemimpim-pemimpin terutamanya menjelang pilihan raya.
“Jadi kita mahu perkara ini dapat diberi tindakan sewajarnya oleh pihak polis. Bila pilihan raya, timbul perkara-perkara begini, kita faham dan tahu bahawa mereka gunakan ini menghasut rakyat untuk tidak menyokong Warisan jadi perkara hari ini harus dibasmi segera.
“Sementara itu, kita juga akan mengukuhkan peringkat akar umbi kita supaya tidak terhasut dengan kenyataan yang berunsur fitnah ini.
“Kita seharusnya tidak menyokong pemimpin di Sabah yang berani memfitnah semata-mata untuk mengambil kuasa,”jelasnya ketika ditemui media selepas laporan polis tersebut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

