Warisan mahu penjelasan lanjut pengiktirafan UEC

LocalPolitics
22 Oct 2025 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Penasihat Undang-Undang Parti Warisan Chin Tek Ming menyambut baik keputusan Kerajaan Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) selain mempertimbangkan pemegangnya bagi lantikan dalam perkhidmatan awam negeri.

Bagaimanapun Chin menegaskan langkah itu memerlukan penjelasan lanjut dan pelaksanaan yang telus.

“Dasar tersebut merupakan langkah positif tetapi persoalan timbul mengenai masa pengumuman dan mekanisme pelaksanaannya termasuk sama ada ia mampu dilaksanakan secara adil dan berkesan.

“Pengumuman ini dialu-alukan namun rakyat berhak tahu kenapa ia diperkenalkan sekarang dan apakah langkah konkrit yang akan diambil bagi memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik,” katanya menambah pengumuman itu dibuat menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah sekali gus menimbulkan perdebatan mengenai kemungkinan adanya motif politik.

Justeru beliau menggesa Kerajaan Negeri meletakan pengiktirafan UEC setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) memandangkan sijil itu diiktiraf secara meluas oleh universiti antarabangsa.

Chin turut menekankan keperluan garis panduan pentadbiran yang jelas bagi mengelak sebarang halangan terhadap pemegang UEC yang ingin memohon pekerjaan dalam sektor awam serta memastikan peluang saksama untuk semua.

“Harus ada mekanisme yang telus dan tersusun untuk menjamin peluang adil kepada graduan UEC,” tegasnya.

Mengulas mengenai peruntukan RM5 juta yang diumumkan bagi menyokong inisiatif berkaitan UEC Chin menggesa agar pengurusan dana dilakukan dengan telus serta berorientasikan kelestarian jangka panjang.

Beliau berkata Warisan sentiasa konsisten menyokong pengiktirafan UEC yang turut diiktiraf ketika Kerajaan Negeri diterajui Warisan pada 2019.

“Apa jua inisiatif yang benar-benar menyokong UEC wajar digalakan.

“Paling penting adalah pelaksanaan yang tulus dan memberi manfaat kepada pelajar serta memperkukuh sistem pendidikan negeri,” tambahnya.