Warisan rancang bina zon industri dekat lapangan terbang Tawau

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2025 • 5:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Bekas Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman yang kini bertanding di kerusi Kukusan sebagai calon Parti Warisan berikrar untuk membangunkan 100 ekar tanah kosong di Lapangan Terbang Lama Tawau menjadi kawasan industri baharu jika diberi mandat rakyat.

Menurutnya, lokasinya yang strategik berhampiran Pelabuhan Tawau dapat mencipta sumber ekonomi rakyat, termasuk peluang pekerjaan apabila kilang-kilang diwujudkan.

Namun, katanya, perkara utama yang perlu diambil perhatian sudah tentu meningkatkan infrastruktur asas iaitu jalan, air dan bekalan elektrik di Kukusan yang berkeluasan 8, 000 kaki persegi.

Ma’mun berkata, PRN Sabah ke-17 sangat penting untuk rakyat bagi mendukung hajat besar Warisan sebagai parti tempatan untuk membangunkan negeri ini.

“Inilah masanya kita bersatu kerana kita sudah ketinggalan 30 tahun berbanding negeri jiran. Infrastruktur semakin teruk, malah Tawau pernah mengalami gangguan elektrik 20 jam. Ini kita tidak boleh biarkan,”katanya.

Mengenai pertembungan dengan kakaknya, Chaya Sulaiman (BN-Umno) yang kembali bertanding selepas PRN16, Ma’mun menjelaskan perkara itu langsung tidak menjejaskan keutuhan hubungan keluarga walaupun berbeza idealogi politik.

Malah, katanya, seluruh ahli keluarga mereka ‘santai-santai’ sahaja dan mereka menyerahkan kepada keluarga untuk membuat pilihan sendiri secara rahsia kerana tidak mahu ada pihak terguris.

“Dulu 2018, dia (Chaya) lawan saya (Warisan) di Parlimen Kalabakan kerana dia bersama (Allahyarham) Datuk (Abdul) Ghapur Salleh dari BN-Umno, kemudian pada 2020, saya bersaing dengan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN - Umno) dan dia bersama (menyokong) beliau (Andi).

“Dan kali ini, kami ditakdirkan bertembung di Kukusan. Tiada masalah. Hubungan kami tetap baik kerana bersaing secara sihat dan matang,” katanya.

Kenyataannya itu disokong Chaya yang menyatakan pertembungan itu tidak dilihat sebagai satu masalah dalam konteks perjuangan kerana mereka membawa panji masing-masing.

Beliau menghargai kepercayaan pucuk pimpinan BN yang meletakkannya sebagai calon Kukusan selepas kalah 10 undi kepada Datuk Rina Jainal yang bertanding atas tiket Warisan ketika itu.

“Angka itu tidak melemahkan semangat saya untuk terus berkhidmat di kawasan dan menjadi batu asas kepada perjuangan saya membela rakyat di Kukusan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pertembungan sekali lagi dengan Rina serta saingan daripada tiga lagi calon wanita lain di kerusi itu sebagai pertandingan sihat dalam proses demokrasi.

Tambahnya pertembungan adik-beradik dalam politik sudah menjadi perkara biasa termasuk bekas Ahli Parlimen Kalabakan, Allahyarham Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Berjaya/Umno) yang memegang enam rekod tanpa kalah, termasuk menang tanpa bertanding sebelum ditewaskan Ma’mun pada 2018, juga pernah bertembung dengan adiknya, Hamud Salleh (Bersekutu).

Kukusan yang merupakan Dun ‘bongsu’ selepas persempadanan semula Dun Sabah adalah antara kerusi panas dalam PRN kali ini yang menyaksikan pertembungan 10 penjuru, termasuk empat calon wanita.

View Original Article