Warisan sedia hadapi PRU15

Politics
27 Sep 2022 • 4:08 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan mengumumkan jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ‘apabila sampai waktunya’.

Shafie bagaimanapun berkata, beliau mahu agar suara rakyat negeri ini turut didengar di Parlimen, tidak hanya kedengaran di Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

“Jadi, kalau kita mahu suara kedengaran, kita perlu mempunyai jumlah yang besar kerana kalau kita kecil, suara kita kecil tapi kalau kita besar, suara kita besar,” katanya.

Beliau ditanya jumlah kerusi Parlimen di seluruh Malaysia yang bakal ditandingi Warisan, termasuk sama ada meletak calon di Parlimen Tawau pada PRU15 kelak. Apa yang penting, katanya, partinya terus mengukuhkan sokongan rakyat dan bersiap-siaga untuk berdepan pilihan raya.

Bekas ketua menteri itu berkata, Warisan bersedia sekiranya Parlimen dibubarkan bila-bila masa sahaja kerana keputusan itu (membubarkan Parlimen) adalah di tangan kerajaan semasa.

“Kita bersedia. Tidak jadi masalah. Sama ada esok atau tahun depan. Kita perlu ada kesiapsiagaan (setiap masa). (Kerana) bukan kita yang menentukan bila PRU. Mereka yang tentukan tapi kita tidak boleh tunggu bila PRU diumum, baru kita (mahu) siap-siaga,”katanya.

Beliau ditemui media sempena majlis DSSA bersama masyarakat Parlimen Tawau di sini, Ahad lepas.

Pada majlis itu, beliau turut menerima borang penyertaan bekas Ketua Cabang PKR Tawau, Datuk Kong Hong Ming ke parti Warisan.

Mengulas perkara itu, Mohd Shafie berkata, beliau gembira dengan penyertaan Kong ke dalam Warisan yang dilihatnya berupaya mengukuh dan memperkuatkan perjuangan parti itu di Tawau dan Sabah.

Ini kerana, katanya, Kong bukan hanya lulusan bidang guaman tetapi juga pemimpin berpengalaman yang sudah terkenal, malah pernah memegang jawatan Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah.

Mohd Shafie juga turut menerima penyertaan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kalabakan, Arbaani Akum bersama 200 ahli ke dalam Warisan sempena acara Bersama Masyarakat Parlimen Kalabakan.

Arbaani merupakan antara calon DUN Merotai yang menyaksikan pertandingan sengit tujuh penjuru pada PRU14 pada 2018 lepas dan dimenangi Sarifuddin Hatta (Warisan).

Sementara itu, Kong ketika ditemui berkata, beliau menyertai Warisan kerana beranggapan sudah tiba masanya beliau menyertai parti berasal dari Sabah memandangkan beliau bukanlah baharu dalam arena politik.

Beliau turut menyatakan terima kasih kepada Warisan Bahagian Tawau atas sokongan untuknya menyertai parti itu yang dilihatnya berpegang kepada perjuangan khas untuk negeri ini dan Malaysia.

“Parti ini tidak mengira kaum dan agama. Inilah yang rakyat inginkan,” katanya yang mengakui beliau tidak menyertai mana-mana parti selepas digantung keahlian PKR pada 2020.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.